Pendaftaran pemandu dibuka sehingga 27 Oktober 2026

Siapakah yang layak menerima Bantuan Khas kepada pemandu bas sekolah di bawah Belanjawan Madani 2027?

Bantuan ini layak diterima oleh semua pemandu bas sekolah yang memenuhi tiga (3) kriteria berikut:

  1. Dilantik oleh syarikat pengendali sebagai pemandu bas sekolah;
  2. Pemandu bas sekolah hendaklah mempunyai Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang aktif melalui semakan bersama pihak JPJ; dan
  3. Syarikat pengendali bas sekolah mempunyai Lesen/Permit Kenderaan bas sekolah yang aktif.
Adakah semua pemandu bas sekolah akan menerima bantuan ini?

Semua pemandu yang disenaraikan oleh syarikat pengendali bas sekolah yang berlesen dengan APAD adalah layak untuk menerima bantuan ini.

Berapa jumlah bantuan diberi?

RM1,000 kepada setiap pemandu yang memandu bas sekolah milik syarikat pengendali bas sekolah seperti diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 9 Oktober 2026.

Bagaimana pemandu boleh memohon bantuan ini?

Semua pemandu bas sekolah yang telah memenuhi kriteria kelayakan adalah layak untuk menerima bantuan ini.

Syarikat pengendali bas sekolah perlu mengemaskini maklumat pemandu secara atas talian (online) di https://bantuanpemandu.mot.gov.my/ dengan menggunakan Nombor daftar syarikat dengan SSM DAN Nombor Lesen Pengendali (OL) yang digunakan semasa memohon lesen pengendali bas sekolah di dalam Sistem iSPKP.

Pengendali bas sekolah perlu mengemaskini maklumat pemandu bas sekolah seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, nombor Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (Public Service Vehicle - PSV) dan nombor akaun bank ke dalam laman sesawang tersebut.

Bila bayaran bantuan tersebut disalurkan ke dalam akaun bank?

Senarai pemandu yang telah dikemaskini oleh syarikat pengendali akan disemak oleh APAD dan JPJ. Pembayaran akan disalurkan terus ke dalam akaun bank pemandu yang dikemaskini oleh setiap syarikat pengendali tertakluk kepada semakan akhiran.

Pembayaran akan disalurkan secara berperingkat ke dalam akaun bank yang dikemaskini di Portal bermula pada 22 Oktober sehingga 2 November 2026.

Sekiranya satu Permit Kenderaan (VP) dikongsi oleh dua (2) pemandu berdaftar, adakah kedua-duanya layak menerima bantuan?

TIDAK. Setiap permit Bas Sekolah melayakkan hanya satu (1) orang pemandu untuk menerima bantuan ini, tertakluk kepada pemenuhan kriteria kelayakan lain.

Bagaimana jika pemandu disenaraikan oleh dua (2) syarikat pengendali berbeza? Adakah pemandu akan menerima dua (2) kali bayaran?

TIDAK. Setiap pemandu hanya layak menerima bantuan ini satu (1) kali sahaja, walaupun pemandu disenaraikan oleh dua (2) syarikat pengendali berbeza.

Sekiranya pemandu memiliki atau memandu lebih daripada satu (1) buah bas sekolah, adakah dia layak menerima bantuan berdasarkan bilangan bas sekolah?

TIDAK. Setiap pemandu hanya layak menerima bantuan ini satu (1) kali sahaja.

Sekiranya tiada akaun bank, bolehkah pemandu menerima bantuan ini secara tunai di kaunter?

TIDAK. Semua pembayaran kepada pemandu akan disalurkan terus ke dalam akaun bank pemandu yang dikemaskini semasa permohonan. Pemandu perlu membuka akaun di mana-mana bank pilihan pemandu.

Pemandu berstatus muflis juga boleh membuka akaun bank dengan mendapatkan surat kebenaran daripada Jabatan Insolvensi Malaysia terlebih dahulu.

Berapa lamakah tempoh masa yang diberi kepada syarikat pengendali untuk mengisi maklumat pemandu di laman sesawang yang disediakan?

Syarikat pengendali perlu mengisi dan menghantar maklumat di dalam laman sesawang tersebut dalam tempoh 12 hari bermula dari 16 hingga 27 Oktober 2026. Portal tersebut boleh diakses 24 jam setiap hari sepanjang masa.

Sekiranya syarikat pengendali lewat mengemaskini maklumat pemandu sehingga melepasi tempoh akhir yang ditetapkan, adakah pemandu masih layak menerima bantuan?

Maaf, pemandu tidak layak. Syarikat perlu mematuhi tempoh masa yang ditetapkan untuk mengemaskini maklumat pemandu masing-masing.

Bagaimana pemandu boleh memastikan syarikat pengendali bas sekolah mengemaskini nama pemandu dengan betul semasa membuat permohonan?

Pemandu bertanggungjawab untuk mengemukakan maklumat sebenar kepada syarikat pengendali. Setelah selesai mengisi maklumat pemandu, syarikat pengendali boleh menjana slip pengesahan untuk diberikan kepada pemandu.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, siapakah perlu dihubungi?

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan bantuan ini boleh dikemukakan kepada APAD melalui emel iaitu bantuanbassekolah@apad.gov.my